Saya mengandung anak ketiga yang kini sudah masuk lima bulan. Pada awal
kandungan, suami saya tidak mahukan kandungan ini kerana masalah ekonomi
disebabkan menanggung hutang ansuran kereta, rumah, pengasuh anak dan
perbelanjaan bulanan.
Kami pernah bergaduh dan suami saya pernah terlepas cakap, “Aku tak mahu
kau lahirkan budak ini, kalau kau melahirkan budak ini dengan selamat
kita bercerai” tetapi suami saya tidak bermaksud untuk bercerai kerana
ketika itu fikirannya amat kusut dan terlepas cakap.
Baru-baru ini, suami saya cakap dia sedia menerima bayi dalam kandungan
ini dan mahu selamatkan rumah tangga kami tetapi risau dengan
kata-katanya sebelum ini ketika kami bergaduh.
Suami tidak tahu apa yang perlu dia lakukan untuk menyelesaikan
keterlanjuran kata-katanya itu. Suami saya pernah telefon ke pejabat
agama untuk minta pendapat mengenai permasalahan kami ini tetapi pegawai
yang jawab panggilan itu berkata, “tunggu sahajalah bayi lahir kemudian
daftar penceraian di mahkamah serta tunggu keputusan mahkamah.”
Sekarang suami saya tidak mahu naik mahkamah dan mahu selesaikan di luar
mahkamah. Pada pendapat Dr, apakah situasi permasalahan saya ini dan
jalan penyelesaian terbaik?
---------------------
UNDANG-UNDANG keluarga di Malaysia memperuntukkan bahawa seseorang suami
atau isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan permohonan untuk
perceraian di Mahkamah Syariah.
Apabila pihak Mahkamah berpuas hati, mahkamah menasihatkan suami supaya
melafazkan talak di hadapan mahkamah. lazimnya lafaz talak berlaku di
luar mahkamah dan tanpa kebenaran.
Dalam situasi ini, suami hendaklah melaporkan kepada mahkamah dalam masa
tujuh hari. Mahkamah kemudian menyiasat sama ada ia dilafazkan mengikut
hukum syarak atau tidak.
Apabila ia sah mengikut hukum syarak, maka mahkamah membuat perintah
membenarkan perceraian dengan talak. Inilah prosedur yang dikatakan
pegawai agama di atas.
Secara umumnya, mahkamah menyiasat sama ada lafaz di atas iaitu “Aku tak
mahu kau lahirkan budak ini, kalau kau melahirkan budak ini dengan
selamat kita bercerai” termasuk dalam lafaz cerai taklik atau tidak.
Mahkamah menyiasat perkara itu berdasarkan keterangan suami dan puan sendiri.
Seterusnya mahkamah mengesahkan lafaz taklik berkenaan dan memutuskan sama ada ia menggugurkan talak atau tidak.
Memandangkan lafaz sedemikian sudah terjadi, saya berpendapat suami puan
perlu melaporkannya kepada mahkamah untuk dibuat siasatan.
Ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan gangguan psikologi kepada
keluarga terutama rasa bersalah dan sebagainya. Itulah sebenarnya yang
dicadangkan pegawai agama berkenaan.
Dengan kata lain, mahkamah memberi kata putus mengenai kedudukan lafaz
itu. Selain itu, negara kita mempunyai undang-undang keluarga yang perlu
dipatuhi dan diselesaikan secara baik di mahkamah.
Penyelesaian di luar mahkamah tidak bersifat rasmi dan membawa masalah
pada masa hadapan. Umpamanya, bilangan cerai dan talak yang berlaku
tidak direkodkan atau sebagainya.
Ia juga sebagai pengajaran supaya tidak mudah menggunakan kata cerai dan talak.
Islam juga melihat perceraian sebagai suatu yang tidak baik kerana sudah
meruntuhkan rumah tangga. Inilah yang diinginkan syaitan.
~ Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri